Saturday, December 13, 2008

Nota 26 : Kesan migrasi terhadap kawasan asal dan kawasan destinasi.

1. Perpindahan penduduk di antara kawasan dalam sesebuah negara boleh meninggalkan berbagai-bagai kesan ke atas kawasan yang ditinggalkan dan kawasan yang didatangi. Kesan perpindahan mungkin positif atau negatif.

2. Perpindahan penduduk seringkali dikaitkan dengan aspek pembangunan penduduk. Perpindahan, sekiranya tidak dikawal boleh meninggalkan kesan negatif dan kawasan yang ditinggalkan ataupun yang dituju. Sebaliknya. melalui perancangan yang teliti, perpindahan boleh dijadikan suatu strategi penting bagi tujuan pembangunan negara.

3. Kesan positif migrasi
(a). Aspek positif kesan migrasi penduduk ialah perpindahan telah dapat mengimbangi taburan penduduk antara kawasan-kawasan di dalam negeri. Misalnya perpindahan penduduk Selangor ke negeri Pahang kerana program-program pembangunan.

(b). Selain itu, penduduk di bandar utama dipindahkan ke bandar-bandar baru di luar bandar bagi mengurangkan kesesakan seterusnya memajukan kawasan yang sebelumnya mundur.

(c). Migran menyediakan bekalan tenaga kerja yang mencukupi untuk memajukan dan memanfaatkan sumber-sumber ekonomi yang ada.

(d). Perpindahan penduduk Melayu luar bandar ke bandar dapat mengimbangi penduduk Cina dan mewujudkan perseimbangan kaum.

4. Kesan negatif migrasi
(a). Aspek negatif kesan migrasi ialah kawasan asal kehilangan sebahagian besar tenaga muda yang umumnya lebih produktif dan mahir (lepasan sekolah). Akibatnya banyak tanah pertanian terbiar.

(b). Perpindahan juga menyebabkan wujudnya masalah sosial sekiranya penduduk yang berhijrah tidak bersedia iaitu tidak berpelajaran atau berpengalaman untuk bekerja di bandar. Masalah seperti pengangguran, kemiskinan, kewujudan kawasan setinggan, jenayah dan sebagai akan berlaku.

(c). Perpindahan ke bandar besar juga menyebabkan kesesakan di bandar. Kemasukan penduduk pada jumlah yang ramai menyebabkan wujud keadaan bilangan penduduk tidak seimbang dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan. Misalnya pertambahan bilangan kenderaan –sejajar dengan pertambahan penduduk – tanpa diikuti dengan penyediaan jalan raya yang lebar dan panjang menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas.

No comments: