Thursday, December 11, 2008

Nota 22: Pertumbuhan penduduk dan tahap pembangunan negara

Piramid Penduduk

1. Selain model peralihan demografi, kaitan penduduk dan pembangunan juga boleh dilihat berdasarkan piramid penduduk. Umumnya piramid penduduk boleh dibahagikan kepada empat bentuk utama. Bentuk tersebut ialah progresif, mantap, regresif dan perantaraan. Setiap bentuk ini menggambarkan ciri kependudukan tertentu.

2. Terdapat hubungan yang rapat antara bentuk piramid dengan tahap pembangunan. Bentuk piramid penduduk sesebuah negara cenderung untuk berubah selari dengan taraf pembangunannya. Piramid penduduk negara maju boleh dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu bentuk regresif dan bentuk perantaraan manakala negara mundur dan membangun digambarkan oleh bentuk progresif dan mantap.

3. Perbezaan tahap pembangunan penduduk terutama dari segi kesihatan dan pemodenan ini, seperti yang digambarkan oleh bentuk piramidnya, boleh juga dikaitkan dengan keadaan yang wujud dalam model peralihan demografi.

4. Peringkat praperalihan dan awal peralihan dalam model tersebut boleh disamakan dengan ciri piramid progresif; manakala peringkat akhir peralihan boleh disamakan dengan ciri piramid penduduk mantap. Peringkat selepas peralihan pula boleh disamakan dengan piramid penduduk yang berbentuk regresif dan perantaraan.

5. Umumnya, seperti piramid progresif, peringkat awal peralihan dalam model tersebut menggambarkan keadaan penduduk di negara mundur. Manakala peringkat sesudah peralihan pula menggambarkan ciri penduduk negara maju.

6. Keadaan ini dapat diperhatikan dalam piramid penduduk Malaysia. Perubahan berlaku daripada bentuk progresif (1990) kepada bentuk mantap (2005) dan dijangka kepada piramid regresif (2050). Perubahan ini berlaku seiring dengan kemajuan ekonomi Malaysia.

7. Bahagian puncak yang melebar menunjukkan semakin ramai penduduk yang hidup selepas 65 tahun. Ini disebabkan oleh taraf hidup yang berkualiti menjamin kesihatan penduduk dan meningkatkan jangka hayat.

8. Bahagian tapak yang kekal kecil pula menunjukkan kadar kelahiran yang stabil. Pembangunan sosial yang terhasil seiring dengan kemajuan ekonomi negara telah meningkatkan taraf pendidikan penduduk khususnya wanita. Pengetahuan penjagaan kesihatan bayi yang meningkat menyebabkan kadar kematian bayi berkurangan.

9. Namun, penglibatan mereka ke dalam sektor ekonomi moden turut mengubah persepsi terhadap perkahwinan, keluarga dan anak sebagai aset. Bahagian tepi piramid yang mengembang menunjukkan kadar kematian adalah rendah kerana kemajuan teknologi perubatan dan kejayaan kerajaan menangani wabak penyakit.

10. Ini bermakna semakin ramai penduduk dewasa yang akan menjadi tenaga kerja yang produktif untuk membangunkan negara. Perubahan bentuk piramid ini memberi gambaran Malaysia sedang menuju ke tahap pembangunan yang lebih maju.

No comments: