Monday, December 1, 2008

Nota 2: Penduduk sebagai Agen Perubahan

1. Selain berpotensi sebagai sumber, penduduk juga merupakan agen perubahan.
2. Peranan penduduk sebagai agen perubahan boleh dilihat melalui aktiviti pembangunan sosioekonomi yang dijalankan.
3. Aktiviti pembangunan sosioekonomi adalah gabungan aktiviti ekonomi dan aktiviti sosial.
4. Aktiviti ekonomi dirujukkan kepada penerokaan hutan, pembangunan pertanian, perlombongan. pembuatan dan perkhidmatan.
5. Aktiviti sosial pula merujuk kepada kegiatan pendidikan, rawatan kesihatan, rekreasi, budaya, membeli belah dan lawatan.
6. Terdapat tiga perubahan yang dilakukan oleh penduduk melalui aktiviti pembangunan sosioekonomi.
7. Pertamanya, perubahan terhadap ruang fizikal.
8. Penduduk bertindak melalui pelbagai cara terhadap persekitaran fizikalnya.
9. Secara umumnya, penduduk sering bertindak terhadap tanah, tanih, kawasan pertanian, air, udara dan hutan termasuk tumbuhan serta haiwan.
10. Antara tindakan yang dilakukan oleh penduduk termasuklah penerokaan tanah untuk kawasan kediaman, pembinaan petempatan desa dan bandar, pembukaan kawasan pertanian, perindustrian dan perniagaan, pembangunan rangkaian perhubungan dan pengangkutan.
11. Tindakan ini akan menghasilkan perubahan ruang fizikal.
12. Berlakunya hakisan cerun, pencemaran alam sekitar, bencana alam yang kerap dan sebagainya adalah kesan tindakan penduduk terhadap ruang fizikalnya.
13. Keduanya, aktiviti pembangunan sosioekonomi penduduk turut mempengaruhi kemajuan ekonomi di sesebuah negara.
14. Kemajuan ekonomi boleh dikesan melalui perubahan pekerjaan, pendapatan dan pemilikan harta benda.
15. Aktiviti pembangunan sosioekonomi seperti penerokaan hutan, pembangunan pertanian, perlombongan, pembuatan dan perkhidmatan telah menyediakan pelbagai pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan, meningkatkan pendapatan perkapita seterusnya dapat mengurangkan kadar kemiskinan, dan meningkatkan taraf sosial penduduk.
16. ketiga, aktiviti pembangunan sosioekonomi penduduk telah mengubah taraf sosial atau kualiti hidup penduduk.
17. Kemajuan ekonomi yang dijana melalui berbagai-bagai kegiatan ekonomi telah membantu kerajaan sesebuah negara menyediakan pelbagai prasarana sosial.
18. Prasarana sosial ini telah meningkatkan kadar literasi di kebanyakan negara, meningkatkan taraf kesihatan penduduk dan mengubah mentaliti penduduk ke arah lebih moden.
19. Keadaan ini dikenali sebagai perubahan sosial.
20. Perubahan sosial merupakan fenomena yang sentiasa berlaku dalam sesebuah masyarakat.
21. Perubahan sosial bolehlah didefinisikan sebagai perubahan yang berlaku terhadap masyarakat dari satu tingkat kehidupan ke satu tingkat kehidupan yang lain.
22. Perubahan sosial dapat dilihat melalui peningkatan kualiti hidup seperti daripada segi taraf pendidikan, kesihatan, budaya dan pemikiran.

No comments: