Friday, December 5, 2008

Nota 10: Konsep asas Pertumbuhan Penduduk

Pertumbuhan semula jadi.
1. Perubahan saiz penduduk, sama ada meningkat atau menurun, lazimnya dapat diperhatikan berdasarkan beberapa petunjuk seperti berikut:
(a). Kadar Kelahiran. Kadar kelahiran lazimnya dinyatakan sebagai jumlah kelahiran bayi bagi setiap 1 000 penduduk pada satu tahun. Ia dikira dengan membahagikan jumlah kelahiran dengan bilangan penduduk negara yang dikaji; (atau dengan membahagikan jumlah kelahiran dengan jumlah penduduk darab 1 000). Misalnya, jika penduduk Malaysia pada tahun 1947 berjumlah 4 908 000 orang dan jumlah kelahiran pada tahun tersebut adalah 215 915 orang, maka kadar kelahiran penduduk Malaysia pada tahun tersebut adalah 44 kelahiran bagi setiap 1 000 penduduk. Pada tahun 2001, kadar kelahiran penduduk Malaysia ialah 22 kelahiran bagi setiap 1 000 penduduk.

(b). Kadar Kematian. Kadar kematian ialah jumlah kematian bagi setiap 1 000 penduduk pada sesuatu tahun. Kadar kematian dikira dengan membahagikan jumlah kematian dengan bilangan penduduk sesebuah negara pada sesuatu tahun. Misalnya, jika penduduk Malaysia pada tahun 1947 ialah 4 908 000 orang dan kematian pada tahun tersebut ialah 98 160, maka kadar kematian penduduknya ialah 20 orang bagi setiap 1 000 penduduk. Pada tahun 2001, kadar kematian penduduk Malaysia ialah 4 orang bagi setiap 1 000 penduduk.

2. Berdasarkan dua petunjuk tersebut, kadar pertambahan penduduk semula jadi dapat dikira. Kadar pertambahan penduduk semula jadi ialah jumlah kelahiran ditolak dengan jumlah kematian yang berlaku di sesebuah negara pada sesuatu tahun. Lazimnya ia dinyatakan sebagai jumlah orang bagi 1 000 penduduk.

3. Kadar pertambahan penduduk semula jadi di negara membangun seperti Amerika Latin ialah kira-kira 25 orang bagi 1 000 penduduk setahun. Pertumbuhan tersebut tinggi jika dibandingkan dengan negara maju seperti Amerika Syarikat, iaitu 9 orang, dan Jepun iaitu dua orang bagi setiap 1 000 penduduk setahun. Bagi negara Malaysia. pertumbuhan penduduk semula jadi masih agak tinggi, iaitu 18 orang bagi setiap 1 000 penduduk.

4. Penggunaan penunjuk kadar kelahiran dan kadar kematian sebagai asas untuk melihat perspektif pertumbuhan penduduk sesebuah negara lazimnya kurang tepat. Untuk mengatasinya, penunjuk kadar migrasi bersih perlu diambil kira.

(c). Kadar migrasi bersih. Sekiranya sesebuah negara atau kawasan menerima kemasukan penduduk dari luar, kemungkinan perpindahan penduduk masuk lebih penting dalam menentukan pertambahan penduduk. Kadar migrasi bersih dikira berdasarkan persamaan:

kadar migrasi bersih i = [hmi – hki / Pit + n – 0.5 (hmi – hki)] x k

di mana
hmi = migrasi masuk ke tempat i
hki = migrasi keluar dari i
Pit + n = penduduk i pada tahun t + n, iaitu meliputi tahun yang dikira
k = nilai pemalar bersamaan 100

5. Perpindahan penduduk dari luar adalah unsur penting yang mempengaruhi pertambahan penduduk di kebanyakan negara di dunia.

6. Di Asia Tenggara, jumlah penduduk asing yang berhijrah masuk terutamanya dari Eropah, selatan China dan India pada abad ke-19 dan awal abad ke-20, adalah besar dan ia penting dalam meningkatkan pertumbuhan penduduk negara Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Burma, dan Filipina.

7. Dengan mengetahui penunjuk kadar kelahiran, kadar kematian dan kadar migrasi bersih, jumlah penduduk negara pada masa hadapan boleh dijangka.

8. Pertambahan penduduk semula jadi dikira dengan menolak jumlah kelahiran dengan jumlah kematian dicampur dengan jumlah penduduk tahun asas. Dengan menggunakan kadar ini dan menyesuaikannya dengan trend kadar kesuburan penduduk semasa, kita dapat menganggar jumlah pertambahan penduduk secara semula jadi untuk beberapa tahun berikutnya.

9. Kemudian, dengan mengira pertumbuhan penduduk disebabkan migrasi bersih dan mencampurkannya dengan jumlah penduduk tahun asas (awal) yang dikaji, kita dapat menganggar penduduk untuk tahun-tahun berikutnya.

No comments: