Monday, December 1, 2008

Nota 1: Penduduk sebagai Sumber

1. Penduduk dianggap sebagai sekumpulan manusia yang mendiami sesuatu kawasan atau negara.
2. Penduduk merupakan satu sumber kerana potensinya sebagai tenaga kerja yang akan membantu dalam pembangunan ekonomi negara. Tenaga kerja yang produktif akan menyumbang ke arah pembangunan berbanding tenaga kerja yang tidak produktif. Bagaimana kita boleh menentukan produktiviti penduduk?
3. Potensi penduduk sebagai sumber/tenaga kerja yang produktif, dilihat pertamanya dari segi bilangannya. Pada masa kini, penduduk ramai yang dimiliki oleh sesebuah negara banyak membantu pembangunan ekonomi negara berkenaan.
4. Negara seperti China dan India, telah membangun dengan pesat kerana salah satu faktornya adalah bilangan penduduknya yang ramai.
5. Ini kerana penduduk yang ramai, jika diberi pendidikan dan kemahiran, berpotensi menjadi tenaga kerja yang baik dan mampu menarik pelaburan asing.
6. Penduduk yang ramai ini juga dapat digamblengkan untuk memajukan negara melalui penglibatan mereka di sektor-sektor ekonomi yang berdaya saing
7. Penduduk yang ramai juga mempengaruhi pasaran sesuatu barangan apa tah lagi jika dibantu oleh kuasa beli yang juga tinggi.
8. Selain bilangan, potensi penduduk sebagai sumber juga ditentukan oleh struktur umur dan jantina penduduk.
9. Struktur umur dan jantina boleh mempengaruhi corak guna tenaga yang ada di sesebuah kawasan atau negara.
10. Mudahnya, struktur umur penduduk boleh dibahagikan kepada tiga iaitu golongan kanak-kanak, golongan muda/dewasa dan golongan tua.
11. Penduduk muda yang terlatih boleh menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara. Sementara kehadiran ramai penduduk tua dan kanak-kanak selalunya dikaitkan dengan besarnya jumlah tanggungan keluarga dan negara. Ini bermaksud, negara yang mempunyai penduduk muda yang ramai memiliki kelebihan menjadi negara maju.
12. Jantina pula boleh dikaitkan dengan jenis aktiviti ekonomi, misalnya sektor industri berat yang memerlukan kekuatan tenaga fizikal manusia seperti kilang memasang kereta, membungkus baja dan kilang petrokimia lazimnya memerlukan lebih ramai pekerja lelaki. Manakala industri yang berintensif buruh seperti kilang yang menghasilkan produk barangan elektrik dan elektronik pula memerlukan ramai pekerja wanita.
13. Terakhir, potensi penduduk sebagai sumber yang produktif dipengaruhi oleh kualiti penduduk.
14. Kualiti penduduk merujuk kepada taraf pendidikan, kemahiran, kesihatan dan sikap.
15. Misalnya, penduduk sesebuah kawasan yang terdidik (lepasan universiti dan kolej), mahir dan berpengalaman mengendalikan peralatan kilang yang moden, sihat tubuh badan dan mempunyai sikap terbuka, boleh bekerjasama sebagai satu pasukan, lazimnya lebih berkualiti dan mampu menarik pelaburan.
15. Oleh itu, kualiti penduduk dapat menentukan tahap pembangunan sesebuah negara atau kawasan.

No comments: